Bagaimanapun, menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, terdapat beberapa proses lain yang perlu diselesaikan terlebih dahulu antaranya mengenalpasti kumpulan sasar sebelum kertas cadangan itu dapat dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

"Bila ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, sangat bergantung sama ada saya berpuas hati dengan tahap kertas cadangan ini.

"Setakat kerja-kerja awal ini saya sangat berpuas hati walaupun garis masa lari sikit, kita sasar ia siap dalam suku kedua tahun ini,"katanya selepas menghadiri majlis Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak sempena Hari Raya Aidiladha di Surau Bandar Bayan Baru di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan Pakatan Harapan akan menggunakan mekanisme baharu bagi menggantikan cadangan penggunaan kad subsidi.

Mekanisme baharu tersebut merupakan subsidi berbentuk tunai dan akan dimasukkan secara terus ke akaun individu yang layak menerima bantuan berkenaan.

Menurut Saifuddin selepas kertas cadangan itu siap sepenuhnya ia akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

"Pada waktu itu, kita hanya akan tunggu kelulusan daripada Jemaah Menteri, kalau tidak ada pindaaan apa-apa ia akan diumumkan,"katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkata, beliau telah mengarahkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mengumpul data segera mengenai mangsa-mangsa ribut susulan taufan Lekima pada Jumaat lalu agar penyaluran bantuan dapat dilakukan.

"Ada kawasan di DUN Pantai Jerejak yang terlibat dengan kejadian ribut ini dan MPKK sedang mendapatkan data yang tepat mengenai jumlah mangsa terlibat.

"Kemudian kita akan uruskan menerusi program bantuan sedia ada sama ada di peringkat kerajaan negeri atau kerajaan Pusat," katanya.

Habis