Bagaimanapun, seorang anak muda dari Simpang Ampat di sini berani mencuba nasib untuk memperkenalkan makanan berasaskan ikan dan tepung ubi itu dengan jenama Keropok Lekor Penang sejak tiga tahun lalu.

Percubaan Muhamad Aizat Muhamad Salleh, 30, itu ter­nyata berhasil apabila keropok lekor jenama tersebut yang dibuat berdasarkan resipi daripada bapa saudaranya yang juga seorang pengusaha kero­pok lekor di Permatang Pauh di sini semakin dikenali ramai.

Muhamad Aizat yang merupakan graduan Ijazah Kejuruteraan Automotif dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) berkata, segalanya bermula apabila dia sering membantu menjual keropok lekor di kedai bapa saudaranya itu ketika masih bergelar pelajar.

“Saya semakin minat dengan perniagaan ini apabila melihat sendiri pasaran keropok lekor boleh dikembangkan apabila ia menjadi makanan kegemaran semua kaum.

“Selepas tamat belajar, saya memberanikan diri memulakan perniagaan membuat kero­pok lekor di sebuah bengkel kecil di Tasek Junjung dan lama kelamaan produk ini semakin dikenali ramai sehingga saya berjaya membuka sebuah pusat operasi yang lebih selesa di Bandar Tasek Mutiara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, Keropok Lekor Penang mempunyai enam jenis keropok lekor iaitu jenis jejari, bebola, losong, nipis, dadu dan batang yang dijual secara borong serta runcit malah turut dijual keropok kering dan juga sate ikan.

Dengan kekuatan sembilan pekerja, Muhamad Aizat berharap dapat memenuhi permintaan pelanggan yang semakin hari semakin bertambah.

“Setakat ini produk Kero­pok Lekor Penang ini berjaya menembusi pasaran di Kedah, Perak, Kuala Lumpur serta Selangor dan saya sasarkan tahun depan produk ini memasuki pasaran di negara China.

“Pembeli dari China telah bersetuju untuk memasarkan produk ini ke negara ber­kenaan, cuma saya masih perlu selesaikan beberapa perkara sebelum meneroka pasaran di negara tersebut,” katanya.