Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, kerajaan sebaliknya disarankan untuk melantik jawatan kuasa pakar bagi mencari penyelesaian yang akan memberi manfaat kepada pengguna dan tidak membebankan kerajaan.

“Kabinet perlu mengkaji dengan serius dengan mempertimbangkan analisis dan hasil sebelum membuat keputusan terhadap tawaran oleh Kementerian Kewangan itu.

“Konsesi lebuh raya bertol kita dikritik sebagai memihak kepada pemegang konsesi untuk membuat keuntungan sementara pengguna pula terpaksa membayar harga tol yang tinggi dan kerajaan perlu membayar berbilion ringgit sebagai pampasan untuk tidak menaikkan bayaran tol,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan akan mengambil alih empat lebuh raya utama, membabitkan nilai RM6.2 bilion sebagai langkah pertama untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan menzahirkan janji Pakatan Harapan (PH).

Empat lebuh raya itu ialah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion), Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1.377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

Menurut beliau menunaikan janji manifesto pilihan raya tidak seharusnya membawa kepada keuntungan durian runtuh bagi pemegang konsesi tol dan meningkatkan beban kewangan bagi kerajaan yang sebenarnya terpaksa ditanggung oleh rakyat. - UTUSAN ONLINE