Ketua Menteri, Chow Kon Yeo berkata, pihaknya mengalu-alukan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini yang mengumumkan kelulusan bersyarat skim kereta api projek LRT Bayan Lepas Pulau Pinang di bawah Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Menurut beliau, berlandaskan kenyataan itu, kerajaan negeri akan menunggu surat rasmi daripada Kementerian Pengangkutan untuk tindakan seterusnya termasuk pameran awam.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk mematuhi segala syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan bagi pelaksanaan projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anthony Loke dalam kenyataan hari ini mengumumkan kelulusan bersyarat projek tersebut selepas pertimbangan teliti dan menyeluruh permohonan dari Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri (BPEN) Pulau Pinang.

Anthony Loke berkata, skim itu diluluskan hari ini dengan tertakluk kepada syarat-syarat tertentu mengikut peruntukan mengikut Seksyen 83 dan 84 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

Sebelum itu, kerajaan negeri memohon kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk laluan LRT dari Bayan Lepas ke Georgetown sejak 2016.

Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan pada September tahun lalu memaklumkan LRT berkemungkinan bukan pilihan terbaik sebagai salah satu pengangkutan awam di negeri ini dan mencadangkan pilihan pengangkutan awam lain yang lebih sesuai. - UTUSAN ONLINE