Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menerima permintaan daripada pihak Anwar pagi ini yang mahu satu taklimat menyeluruh mengenai isu itu dibentangkan kepada beliau.

“Kerajaan negeri akan aturkan taklimat kepada Anwar, kalau ada wakil rakyat lain (yang ingin turut serta) kita akan aturkan taklimat.

“Anwar minta taklimat menyeluruh, kita baru terima permintaan pada pagi ini dan saya telah arahkan pegawai berkenaan untuk aturkan taklimat ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar mengadakan sesi pertemuan bersama lebih 200 orang terdiri daripada nelayan, penduduk dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Jeti Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar bagi mendengar masalah sebenar penduduk yang terlibat berhubung isu PSR.

Pertemuan itu diadakan susulan bantahan sekumpulan nelayan dari negeri ini di Parlimen minggu lalu berhubung projek tersebut yang turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Kon Yeow taklimat khusus itu juga akan diatur dalam waktu terdekat di lokasi yang sesuai untuk kerajaan negeri dan Anwar.

“Kalau ada yang anggap di Pulau Pinang sesuai, kita akan aturkan di sini, Parlimen juga tidak bersidang selepas ini.

“Kita akan aturkan tempat yang sesuai dan para wartawan akan dimaklumkan mengenai taklimat ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE