TPD dalam satu kenyataan berkata, selepas kumpulan nelayan pertama yang menerima pembayaran ex-gratia, TPD mengambil inisiatif membantu 40 nelayan dan 15 anak kapal yang layak tetapi tidak berada di dalam senarai untuk membuat rayuan kepada pihak berkuasa dan bayaran kedua ex-gratia dilakukan pada 31 Oktober 2015.

“Sejak 2003, terdapat penglibatan berterusan antara komuniti nelayan dengan TPD menyumbang kepada komuniti nelayan dalam skop yang selaras dengan undang-undang.

“Malah, jumlah bayaran ex-gratia kepada nelayan yang layak ditentukan oleh pihak berkuasa negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada sidang akhbar sekumpulan nelayan di kawasan Tanjung Tokong, Gurney Drive, Pengkalan Paramount dan Tanjung Bunga yang terjejas akibat projek STP2 hari ini yang menyuarakan perasaan tidak berpuas hati dengan projek tambak laut di situ.

Nelayan mendakwa, projek tambak laut itu menyebabkan kawasan tersebut mengalami kepupusan sumber ikan serta hidupan laut yang teruk sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Malah, nelayan mendakwa pampasan berjumlah RM15,000 yang diberikan pemaju juga tidak setimpal dengan kehilangan pendapatan yang mereka alami pada masa ini.

Menurut TPD, sebagai langkah keselamatan proaktif, pihaknya juga sentiasa mengemas kini nelayan menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) mengenai aktiviti tambak laut yang dijalankan.

“Masyarakat nelayan secara keseluruhan juga telah menerima sumbangan seperti program bantuan sekolah TPD, sokongan untuk perayaan perayaan, rumah terbuka dan sebagainya,”katanya. - UTUSAN ONLINE