Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut, Noor Azura Ahmad, waris pertama melibatkan empat beradik masing-masing tiga lelaki dan seorang perempuan berusia antara 10 bulan hingga enam tahun.

Katanya, empat beradik itu diselamatkan JKM di sini pada September lalu selepas dikesan ditinggalkan dan diabaikan di rumah mereka tanpa pengawasan orang dewasa.

Tambah beliau, siasatan juga mendapati tiada pihak yang layak memberi penjagaan serta perlindungan terhadap empat beradik itu dan dilindungi JKM di bawah peruntukan Seksyen 30 (1) (d) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Keempat-empat beradik ini didapati tiada sijil lahir dan kita meminta ibu bapa kandung kanak-kanak ini tampil bagi urusan dokumentasi seterusnya membolehkan kita menguruskan pendaftaran lewat sijil kelahiran mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, tambah Noor Azura, pihaknya turut mengesan waris kepada seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang ditinggalkan penja­ganya di Hospital Lam Wah Ee di sini pada 23 Mac tahun lalu.

Katanya, bayi perempuan warga Myanmar itu diberi nama Cho Cho Lwin (Erina).

Turut dikesan, tambah beliau, ialah waris kepada seorang bayi lelaki berusia kira-kira sebulan yang ditinggalkan di sebuah bilik persalinan di pusat beli-belah Tesco, Tanjung Pinang di sini pada 6 Disember lalu.

“Sehubungan itu, kita menggesa waris kepada kanak-kanak dan bayi ini serta mana-mana pihak yang mungkin mengenali mereka untuk tampil menyalurkan maklumat kepada JKM.

“Mereka boleh berbuat demikian dengan menghubungi Pelindung Kanak-kanak Daerah Timur Laut  di talian 04-2264531 atau 04-2277413,” katanya.