Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, penubuhan tabung itu mempunyai agenda dan matlamat yang besar ke arah pembangunan serta kesejahteraan umat Islam di negeri ini.

Beliau mengambil contoh sekiranya kariah masjid di kawasan tertentu ingin membeli tanah berdekatan masjid mereka sama ada untuk tujuan pembesaran atau menaik taraf, maka wang daripada tabung wakaf berkenaan boleh digunakan bagi tujuan tersebut.

"Wang yang dimiliki sesebuah masjid secara sendirian pastinya tidak cukup untuk membeli tanah itu, jadi di sinilah peranan tabung wakaf masjid yang ditubuhkan itu iaitu bagi membolehkan masjid merancang sesuatu yang lebih besar untuk manfaat ahli kariah masing-masing.

"Ini adalah antara contoh mengapa kita melihat penubuhan tabung wakaf masjid ini mampu memainkan peranan penting kepada umat Islam di negeri ini dan perkara ini juga sudah dinyatakan dengan jelas dalam surat pekeliling yang diedarkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai penubuhan tabung wakaf sumbangan masjid negeri menerusi surat pekeliling kepada pengurusan masjid bertarikh 26 Jun lalu yang menjadi tular di dalam media sosial.

Menerusi surat itu, semua masjid di negeri ini diminta menyumbang sebanyak 10 peratus hasil kutipan tabung setiap Jumaat pada setiap bulan kepada tabung berkenaan berkuat kuasa bulan lalu.

Bagaimanapun, arahan itu mendapat bantahan banyak pihak yang mempersoal kewajaran MAINPP mengambil sebahagian daripada kutipan tabung tersebut yang sepatutnya digunakan pengurusan masjid untuk urusan lain termasuk membayar bil utiliti.

Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, selain menerusi surat pekeliling, pihaknya juga telah mengatur perjumpaan dengan kariah masjid mengikut daerah di negeri ini dengan daerah Timur Laut pada 18 Julai lalu; Seberang Perai Selatan (31 Julai) dan Seberang Perai Tengah (3 Ogos).

Katanya, taklimat sama juga akan diadakan di daerah lain sepanjang bulan ini iaitu mencakupi lebih 200 masjid secara keseluruhannya di negeri ini.

"Sepanjang sesi pertemuan dengan kariah masjid dalam menerangkan mengenai penubuhan tabung wakaf masjid ini sebelum ini, kita tidak menerima sebarang bantahan atau pertikaian mengenainya.

"Sehinggalah perkara ini ditularkan dan dibangkitkan pihak tertentu yang kita lihat cuba memanipulasi dan mencetuskan isu daripada usaha ini," katanya. - UTUSAN ONLINE