Nor Hamieza Yatim, 28, berkata, selepas berita berkenaan disiarkan, orang ramai mula tampil menghulurkan bantuan kepada anaknya itu.

“Saya sangat bersyukur kerana tidak menyangka ramai yang bermurah hati membantu kami, ia umpama hadiah Ramadan kepada kami sekeluarga.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menghulurkan bantuan kewangan kepada anak kami selepas membaca kisah kami di Utusan Online,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Utusan Online Rabu lalu melaporkan mengenai kisah Mohamad Fattah Darwisy yang menderita leukemia serta kesulitan Nor Hamieza khususnya dari segi kewangan untuk memastikan anaknya mendapat rawatan sempurna.

Ini kerana keluarga berkenaan perlu berulang-alik dari Perlis ke Hospital Pulau Pinang (HPP) setiap dua minggu sekali gus memerlukan perbelanjaan tinggi.

Nor Hamieza berkata, buat masa ini Mohamad Fattah Darwisy memberikan maklum balas positif terhadap rawatan yang diterima.

“Pada Khamis lalu dia telah dibenarkan keluar dari HPP, namun Ahad depan kami perlu menjalani rawatan semula di sini.

“Ramai yang mendoakan kesihatan anak saya dan saya berharap Allah SWT memakbulkan doa semua pada Ramadan ini,” katanya.

Mohamad Fattah Darwisy perlu menjalani rawatan selama tiga tahun lagi bagi memastikan dirinya bebas daripada kanser.

Sehubungan itu, bagi mereka yang ingin terus membantu Mohamad Fattah Darwisy boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 159021083540 (Nor Hamieza Yatim). - UTUSAN ONLINE