Pada masa sama, penyertaan yang diterima daripada pelbagai kaum serta pelbagai peringkat umur menjadikan HSN sebagai wadah paling sesuai dalam me­ngukuhkan semangat perpaduan antara kaum.

Di Pulau Pinang, HSN juga dianggap sebagai medan terbaik untuk melahir, mengetengahkan serta mencungkil bakat-bakat sukan baharu khususnya daripada kalangan generasi muda.

Hakikat itu diakui oleh Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, N. Vijayan ketika ditemui sempena sambutan HSN 2018 peringkat negeri di Kompleks Belia dan Sukan Batu Uban di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, menerusi HSN, kanak-kanak seawal usia lapan tahun didedahkan dengan beberapa acara sukan utama seperti bola sepak, bola tampar dan seni bela diri mengikut minat serta kemampuan masing-masing.

“Kita kekurangan pelapis baharu dalam beberapa acara sukan dan saya percaya HSN 2018 ini boleh membantu membekalkan atlet-atlet yang berpotensi pada masa depan,” ujar Vijayan.

Secara keseluruhannya, hampir 60,000 orang mengambil bahagian dalam 120 program yang diatur sempena HSN 2018 di negeri ini yang turut diadakan serentak di seluruh negara sejak mula dianjurkan pada 2015.

Selain peringkat negeri, jumlah penyertaan itu termasuk program yang diadakan pada peringkat sekolah, kolej dan universiti, jabatan-jabatan kerajaan dan swasta serta di kelima-lima daerah di negeri ini.

Bermula dengan sesi se­nam­robik, sambutan dimeriahkan dengan pelepasan hampir 30,000 peserta Mutiara Fun Run HSN 2018 oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Turut berlangsung ialah acara Fun Ride HSN, himpunan seni bela diri seperti silat, Muay Thai, wushu dan silambam, pertan­dingan bola tampar pantai tiga sebelah, bola sepak kategori sekolah rendah bawah 10 tahun, paintball, mendaki tembok, Mr. Fitness, floorball dan sebagainya.

“"