Menurut Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, pihaknya telah lama mendedahkan mengenai trend peningkatan dalam harga makanan tetapi malangnya gesaan mereka tidak mendapat perhatian.

Tambah beliau, rakyat kini mengalami kos sara hidup yang tinggi disebabkan oleh pelbagai faktor dan salah satu daripadanya adalah kerana negara terlalu bergantung kepada makanan import.

Ujarnya, kebergantungan itu memberikan kesan negatif kepada pengaliran keluar ringgit terutama dalam keadaan mata wang negara yang melemah seperti ketika ini.

Jelas Mohideen, kemerosotan nilai ringgit juga memberikan kesan terhadap kos pengeluaran dalam bentuk peralatan dan bahan kimia pertanian yang menjadi lebih mahal sekali gus meningkatkan harga hasil pertanian.

"CAP secara aktif menyokong pertanian sejak berdekad lamanya, namun negara gagal dalam sektor ini disebabkan kita terlalu bergantung kepada hasil pertanian import.

"Terdapat perbezaan yang begitu ketara dengan negara jiran, Thailand yang memajukan sektor pertanian pada 1960 dengan memanfaatkan sepenuhnya buruh dan tanah terbiar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohideen turut menyifatkan keutamaan pertanian negara berada pada landasan salah apabila memiliki 5.1 juta hektar ladang kelapa sawit berbanding 52,582 hektar sayur-sayuran dan 205,467 hektar buah-buahan pada 2012.

Tambahnya, keluasan bagi tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan itu hanya 258,049 hektar atau 5.1 peratus daripada yang digunakan untuk penanaman kelapa sawit.

"Kita juga tidak mempunyai dasar pengeluaran makanan yang lestari menjadikan kita mudah terjejas dalam keadaan seperti hari ini.

"Lebih-lebih lagi, rantaian bekalan makanan daripada ladang ke meja secara kasarnya tidak cekap sehingga membolehkan pelbagai peringkat orang tengah mengaut keuntungan selain dakwaan sindiket mengawal harga dan bekalan makanan," katanya.

Sehubungan itu, tambahnya, CAP menggesa kerajaan mengubah seluruh dasar pertanian, pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan, rantaian bekalan makanan dan sektor perikanan yang tidak lestari. - UTUSAN ONLINE