Bagaimanapun, menurut Pengarah Pendidikan negeri, Dr. Mahanom Mat Sam, prestasi GPN bagi sekolah luar bandar meningkat 0.02 peratus iaitu daripada 4.89 peratus pada 2017 kepada 4.87 peratus tahun lalu.

Tambahnya, prestasi calon yang la­yak mendapat sijil juga lebih baik iaitu sebanyak 82.84 peratus tahun lalu berbanding 82.44 peratus bagi 2017.

Keputusan itu, jelas beliau, berdasarkan seramai 15,571 calon yang berjaya mendapat sijil daripada keseluruhan 19,023 pelajar yang menduduki SPM tahun lalu.

“Selain itu, seramai 12 calon SPM da­ripada tujuh buah sekolah di negeri juga berjaya mendapat semua A+ dalam SPM tahun lalu iaitu berkurang berbanding 16 calon pada 2017.

“Bagaimanapun, calon yang mendapat semua A pula bertambah daripada 736 orang pada 2017 kepada 746 orang bagi SPM tahun lalu,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pengumuman keputusan SPM peringkat ne­geri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pondok Upeh, Balik Pulau, di sini hari ini.

Sementara itu, Mahanom berkata, SMK Pondok Upeh dipilih sebagai lokasi pengumuman keputusan SPM pe­ringkat negeri berdasarkan prestasi cemerlang dicatatkan sekolah berkenaan dalam peperiksaan tersebut.