Ini kerana pembeli di sebuah projek perumahan di Tanjung Tokong di sini berkenaan dipaksa bersetuju dengan syarat ditetapkan pemaju termasuk membeli pakej ubah suai dan lot tempat letak kereta serta pelbagai caj lain menyebabkan harga rumah mereka melebihi RM100,000.

Lebih mengecewakan, mereka juga berasa tertipu selepas mendapati pemaju projek berkenaan menjual harga rumah itu pada harga berlainan kepada pembeli berbeza meskipun ada yang membayar bagi pakej yang sama.

NOR NAZIRAH SUDIN
NOR NAZIRAH SUDIN 

Seorang pembeli, Nor Nazirah Sudin, 34, berkata, dia yang menerima tawaran membeli rumah kos sederhana itu pada harga RM72,500 pada akhirnya terpaksa membayar RM182,000 selepas dipaksa pemaju untuk mengambil pakej bersama tempat letak kereta dan ubah suai rumah.

Kata suri rumah berkenaan, dia tidak mempunyai pilihan lain selepas diberi kata dua sama ada untuk menerima tawaran pemaju itu atau unit yang ditawarkan kepadanya diberikan kepada pemohon lain.

“Saya terpaksa bersetuju kerana sudah menunggu selama 12 tahun untuk memiliki rumah kos sederhana di negeri ini meskipun perlu membayar lebih RM800 sebulan bagi pinjaman rumah.

“Tetapi selepas mengetahui ada unit yang dijual pada harga jauh lebih murah, saya berasa tertipu dan apabila perkara ini dibawa kepada pemaju, mereka tidak dapat memberi penjelasan munasabah sebaliknya berdolak-dalik kononnya mengikut pakej tertentu,” katanya dalam sidang akhbar bersama Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di sini pagi ini.

Difahamkan, projek perumahan kos sederhana rendah di Tanjung Tokong yang ditawarkan kepada pembeli berkenaan melibatkan unit seluas 71 meter persegi (760 kaki persegi) dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air di bangunan setinggi 20 tingkat dengan keseluruhan 142 unit.

G. LETCHUMI
G. LETCHUMI 

Sementara itu, seorang lagi pembeli, G. Letchumi, 54, berkata, dia terpaksa memohon bantuan anaknya untuk mendapatkan pinjaman perumahan selepas perlu membayar RM130,000 meskipun harga menerusi surat tawaran hanya RM72,500.

Katanya, apa yang mengecewakan, harga RM130,000 itu pula adalah bagi unit asas tanpa lot tempat letak kereta atau pakej ubah suai dan dia ditawarkan harga RM168,000 jika mahu mendapatkan kedua-dua pakej tersebut.

“Disebabkan saya sudah berusia dan suami yang bekerja di hotel juga akan bersara beberapa tahun lagi, saya terpaksa menerima harga diletakkan pemaju atau saya akan terlepas tawaran ini sedangkan sudah lebih 10 tahun menunggu mendapatkan rumah kos rendah,” katanya.

CHAN SWEE CHEN
CHAN SWEE CHEN 

Dalam pada itu, nasib lebih malang dilalui seorang orang kurang upaya (OKU), Chan Swee Chen, 37, yang terpaksa membayar sehingga RM174,000 untuk unit di projek berkenaan termasuk pakej lot tempat letak kereta dan ubah suai rumah.

Kata peniaga barangan terpakai online yang berkerusi roda itu, pemaju pada mulanya juga mendakwa kawasan perumahan itu mesra OKU termasuk akan disediakan laluan khas kerusi roda.

“Tetapi hakikatnya, kemudahan untuk OKU itu tidak ada dan saya yang diberikan unit di tingkat tujuh terpaksa membuat sendiri laluan bagi kerusi roda termasuk ubah suai bilik air untuk kemudahan saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Aduan CAP, Ravinder Singh mendesak kerajaan negeri supaya tidak lepas tangan dalam isu tersebut dan membiarkan pemaju sewenang-wenangnya menentukan harga rumah kos rendah kepada pembeli yang layak.

Katanya, isu itu yang merupakan satu bentuk penindasan kepada golongan rakyat kurang berkemampuan sudah berulang kali diajukan kepada kerajaan negeri sekali gus memerlukan tindakan tegas bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa kerakusan pemaju. - UTUSAN ONLINE