Ini kerana, meskipun mengetahui suaminya, Rahimi Ahmad, 39, yang ketika kejadian berada di Masjid Al Noor, Deans Avenue bagi menunaikan solat Jumaat menjadi mangsa serangan itu, namun Noor Azila Abd. Wahid, 39, langsung tidak mengetahui mengenai keadaan suaminya.

Sehinggalah pukul 9 malam (waktu tempatan) tadi, katanya, dia dihubungi seorang doktor rakyat Malaysia yang memintanya mengenal pasti dan mengesahkan identiti Rahimi yang dirawat di Hospital Christchurch.

Tambah Noor Azila, suaminya kini masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas terkena tembakan di bahagian kanan perut.

Katanya, dia dimaklumkan suaminya sudah menjalani pembedahan mengeluarkan peluru itu, namun perlu menjalani satu lagi pembedahan esok.

“Suami saya masih belum sedar, namun keadaannya stabil, esok akan menjalani satu lagi pembedahan tetapi masa belum pasti.

“Saya memohon semua rakyat Malaysia mendoakan keselamatan kami di sini,” katanya ketika dihubungi menerusi sosial media di sini malam ini.

Rahimi merupakan antara dua rakyat Malaysia yang disahkan cedera dalam serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch dengan seorang lagi ialah Mohd. Tarmizi Shuib, 42, yang berasal dari Alor Setar, Kedah yang dilaporkan terkena tembakan di bahagian belakang badan. - UTUSAN ONLINE