Di bawah nama Penanti Eco Corporation (Pecorp), pasukan yang dibarisi enam pelajar dan dibimbing tiga guru itu turut terpilih menyertai Toyota Eco Youth 2018 bagi mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan.

Sejak April lalu, Pecorp telah bergerak dengan merangka kertas kerja serta mengadakan tinjauan dan kempen di sekitar Mukim 20 Penanti yang menjadi kawasan tumpuan operasi mereka.

Mereka juga bekerjasama de­ngan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Majlis Per­bandaran Seberang Perai (MPSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan banyak lagi untuk menjayakan program berkenaan.

Pusat pengumpulan itu telah dirasmikan oleh Ahli De­wan Undangan Negeri Pe­nanti, Dr. Norlela Ariffin se­malam sempena Karnival Kokurikulum dan Hari Koperasi SMK Penanti.

Menurut penyelarasnya, Nor Ahziyah Marzuki, dia bersama dua rakan, Fatin Izati Ahmad Badri dan Ummi Amarah Musa membimbing enam pe­lajar tingkatan empat bagi menjalankan kempen itu yang turut mendapat sokongan Pejabat Kesihatan Seberang Perai Tengah.

“Sebelum ini pencemaran sering berlaku terutama di longkang-longkang akibat pem­­buangan minyak masak ter­pakai secara tidak teratur yang seterusnya mengancam keselamatan serta alam sekitar.

“Melalui projek ini, kami telah menjalankan tinjauan di rumah penduduk serta me­ngedarkan risalah dari rumah ke rumah selain bekerjasama dengan pihak masjid untuk menghebahkan kempen yang kami lakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, se­malam.

Tambahnya, melalui kempen tersebut, penduduk atau orang ramai yang menghantar minyak masak terpakai ke pusat itu akan dibayar RM1 untuk setiap dua kilogram minyak.

Jelas Nor Ahziyah lagi, minyak yang dikumpulkan akan digunakan untuk membuat be­berapa produk sampingan seperti sabun dan lilin selain dijual kepada syarikat swasta yang mem­prosesnya menjadi sumber biodiesel.

Orang ramai yang ingin menyerahkan minyak masak terpakai kepada Pecorp boleh hadir ke sekolah terbabit pada setiap hari Rabu dari pukul 7.30 hingga 9.30 pagi.