Sumbangan itu dibuat menerusi program ‘Back To School 2019’ yang berlangsung di pusat beli-belah Mydin di sini.

Menurut Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari, 100 pelajar dari 10 buah sekolah di sekitar Pulau Pinang itu merupakan sebahagian daripada 500 pelajar dari seluruh negara yang diraikan menerusi program tersebut.

Menurut beliau, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM180 bagi setiap pelajar untuk membeli kelengkapan sekolah baharu seperti uniform, kasut dan beg.

Tambahnya, setiap sekolah yang merupakan sekolah angkat CBP itu secara keseluruhannya menerima sebanyak RM90,000 untuk disalurkan kepada pelajar terpilih di bawah program tersebut.

“Bagi program hari ini, kita membawa seramai 100 pelajar dari 10 buah sekolah di Pulau Pinang untuk membeli sendiri kelengkapan sekolah mereka.

“Bagi pelajar selebihnya, mereka akan diberikan baucar dengan nilai sama untuk membeli kelengkapan sekolah sendiri di Mydin pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Kamari Zaman, pemberian sumbangan peralatan sekolah itu merupakan pertama kali diadakan pihaknya dan akan dijadikan program tahunan melihat kepada sambutan menggalakkan yang diterima.

Tambah beliau, program itu juga merupakan kesinambungan daripada khidmat sosial masyarakat (CSR) CBP kepada sekolah-sekolah di seluruh negara yang diadakan sebelum ini.

“CBP tahun ini sudah memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada 173 buah sekolah di seluruh negara bagi tujuan pembangunan infrastruktur dan pembangunan pembelajaran serta kokurikulum pelajar di sekolah berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE