Antaranya termasuk bagi menjayakan hari sukan, mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), hari anugerah kecemerlangan, sambutan Hari Guru, lawatan sambil belajar serta pelbagai program lain.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd. Nor Abd. Razak berkata, bagi membuktikan bahawa setiap golongan pendidik dekat di hati mereka, CBP juga telah menawarkan kempen promosi pembiayaan khusus dengan tawaran hadiah menarik untuk tempoh bermula April hingga Jun yang lalu.

“Alhamdulillah, sambutan yang kita terima untuk kempen itu sa­ngat menggalakkan kerana CBP te­lah berjaya membantu lebih 1,000 warga pendidik yang memerlukan pembiayaan dengan jumlah peruntukan melebihi RM65 juta.

“Berdasarkan sokongan kuat serta kerjasama erat yang ditunjukkan daripada golongan tersebut, insya-Allah, CBP akan meneruskan pelbagai program promosi menarik khusus untuk warga pendidik pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Motivasi Skor A bersama Kelab Mystar CBP di Dewan Masjid At-Taqwa, Bertam Indah yang disertai lebih 100 orang murid tahun enam dari 10 buah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara.

Selain Kepala Batas, hari kemuncak bagi program motivasi 2018 itu turut diadakan di empat lokasi berasingan iaitu Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alor Setar dan Nibong Tebal.

Difahamkan, program kali ini merupakan kesinambungan daripada program motivasi yang hampir sama diadakan oleh dua cawangan CBP iaitu di Bayan Baru dan Taiping pada 28 Julai lalu.

Pada program kali ini juga, Sekolah Kebangsaan Permatang Buloh di sini diumumkan sebagai sekolah angkat kepada CBP berdasarkan pencapaian cemerlang mereka dalam koakademik serta beberapa pertandingan termasuk pada peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Mohd. Nor berharap agar para peserta program mendapat manfaat terutamanya dari segi pengurusan ilmu kewa­ngan oleh CBP untuk bekalan ma­sa hadapan mereka.

“Saya yakin anak-anak ini telah mendapat ilmu, pengalaman dan manfaat sepanjang program motivasi ini selain sedikit-sebanyak menjadi titik tolak kepada permulaan untuk menjadi seorang insan yang berjaya,” katanya.