Dikenali sebagai pengusaha produk yang menghasilkan burger bersaiz besar, berbentuk kek serta lain daripada lain, Siti Umairah Sabudin, 33, dan suaminya, Muhamad Hasseni, 31, kini boleh berbangga apabila produk burger unik mereka semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan.

Dengan menggunakan jenama MTCT sebagai nama produk perniagaan mereka, Siti Umairah berkata, dia memulakan perniagaan menjual produk burger buatan sendiri pada 2015 kerana minat yang mendalam dalam bidang perniagaan.

“Selepas melahirkan anak ketiga saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja kilang kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Saya memang minat berniaga kerana dari kecil saya membantu ibu saya menjual kuih-muih.

“Selepas berhenti kerja saya mula memikirkan perniagaan apa yang saya perlu lakukan untuk menjana pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui di bengkel burger miliknya di Permatang Rambai di sini baru-baru ini.

Siti Umairah berkata, dia mula membuka tempahan menjual burger bersaiz biasa kepada pe­langgan di sekolah, kilang dan turut menjual burger di kios burger di hadapan masjid Permatang Rambai.

“Idea untuk menjual burger bersaiz besar serta berbentuk seperti kek timbul apabila saya melihat wujudnya keperluan untuk mempelbagaikan produk apabila menghadiri kursus membuat kek dan roti.

“Dari situ saya melihat sebiji kek dan secara tiba-tiba datang idea untuk membuat burger bersaiz besar yang berbentuk kek,” katanya.

Menurutnya, dia memasarkan produk burger bersaiz besar yang berbentuk seperti kek dan pelbagai bentuk burger lain yang dihasilkan dengan menggunakan media sosial Facebook.

“Antara keistimewaan burger yang dihasilkan ialah roti dan da­ging yang digunakan untuk menghasilkan burger ini adalah seratus peratus dibuat sendiri tanpa bahan pengawet.

“Selain itu, bagi burger bersaiz besar seperti kek, saya juga menambah dekorasi tulisan di atas burger seolah-olah seperti hiasan kek dan ternyata ia berjaya menambat hati pelanggan,” katanya.

Katanya, setakat ini saiz burger berbentuk kek yang paling besar pernah dihasilkannya ialah sekitar 18 inci.

“Burger berbentuk kek yang dijual berharga sekitar RM18 hingga RM100 serta mengikut saiz yang ditempah pelanggan,” katanya.