Bagaimanapun, tindakan lelaki itu berjaya dikesan anggota polis yang menjalankan siasatan awal terhadap kes tersebut kerana mendapati laporan polis yang dibuat oleh lelaki berusia 30 tahun itu meragukan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd. Hamid berkata, mengikut laporan awal, suspek mendakwa dia telah disamun kira-kira pukul 7 petang semalam oleh tiga lelaki bersenjatakan parang ketika sedang memberhentikan keretanya di lampu isyarat di Jalan Perusahaan Bukit Minyak.

“Menurut suspek, dalam kejadian tersebut dia telah kehilangan dokumen diri, sebuah telefon bimbit jenis Samsung A8 Plus dan wang tunai berjumlah RM300.

“Seterusnya pihak polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati keterangan suspek mencurigakan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan pihak polis kemudiannya membuat pemeriksaan pada tubuh badan suspek dan menjumpai sebuah telefon bimbit milik suspek yang dilaporkan hilang sebelum ini.

“Berdasarkan keterangan suspek, dia membuat laporan palsu kerana mahu membuat semula kad pengenalan dan takut didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

“Suspek sebenarnya mengalami kehilangan kad pengenalan kerana tercicir dompet semasa berada di Pasaraya Pacific di Seberang Perai,” katanya.

Tambah beliau, suspek telah ditahan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE