Presiden Penang Heritage Trust (PHT) yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Lim Gaik Siang berkata, sehubungan itu, pihaknya akan terus menggesa kerajaan negeri mengkaji semula projek-projek mega seperti itu.

Apatah lagi, kata beliau, projek itu secara umumnya juga dilihat lebih banyak mendatangkan risiko terhadap penduduk serta alam sekitar berbanding kesan positif.

“Bayangkan jika projek PIL 1 ini dilaksanakan merentasi bukit, taman, kawasan kediaman dan komersial di Pulau Pinang termasuk di Taman Belia, kuil Hindu, Kuil Kek Lok Si dan beberapa kawasan sekitar, apakah yang akan berlaku seterusnya?

“Sudah tentu tanah di kawasan-kawasan itu akan menjadi lebih mendap ketika banjir kilat dan lebih malang akan menyebabkan berlakunya insiden atau tragedi tanah runtuh yang lebih dahsyat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majlis penerangan berkaitan bantahan terhadap projek tersebut di Sunrise Garden, Sungai Ara, di sini, baru-baru ini.

Gaik Siang menambah, berdasarkan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA), banyak kawasan termasuk di sekitar Sungai Ara dijangka terjejas termasuk Masjid Al-Huda serta kawasan penempatan seperti Kampung Baru, Kampung Tersusun dan Kampung Manggis.

Selain itu, katanya, kawasan sekitar Bayan Baru pula bakal berdepan risiko kesesakan lalu lintas yang lebih teruk.

“Turut akan berlaku adalah impak dari segi geologi seperti kualiti air yang merosot berikutan aktiviti meluruskan sungai (yang menjadi penghubung antara Kampung Tersusun dan Kampung Baru), pencemaran bunyi serta impak sosial terutamanya dari segi keselamatan terhadap penduduk yang berkenaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemandu Penang Forum, Khoo Salma Nasution mengakui ramai penduduk yang masih tidak tahu mengenai rancangan pembinaan projek tersebut walaupun dijangka dibina berhampiran kawasan mereka.

Katanya, meskipun sesi penerangan telah diadakan secara berkala untuk menjelaskan mengenai betapa bahayanya projek tersebut, namun tidak ramai penduduk khususnya orang Melayu mengambil bahagian.

“Ini disebabkan sesi penerangan itu kebanyakannya dijalankan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin,” jelasnya.

“Sesi penerangan lain juga ada dibuat, tetapi hanya wakil penduduk sahaja yang dihantar untuk mengikutinya. Jadi, maklumat yang ingin disampaikan itu mungkin tidak sampai sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berhasrat untuk meneruskan sesi penerangan berkenaan risiko projek PIL 1 supaya lebih ramai penduduk serta orang awam mendapatkan maklumat yang lebih jelas.