Kesemua mereka diraikan seramai 15 ahli Kelab Permotoran Satu Hati (Bikers Satu Hati) dengan masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM150 untuk membeli kelengkapan hari raya.

Menurut Presiden Bikers Satu Hati, Anuar Abu Kassim, program meraikan anak yatim dengan pembelian kelengkapan Aidilfitr itu merupakan yang ketiga dianjurkan pihaknya sejak kelab tersebut ditubuhkan pada 2016.

Katanya, selain menghadirkan kegembiraan dalam kalangan kanak-kanak yatim piatu dan asnaf di rumah kebajikan itu, program tersebut juga merupakan salah satu cara kelab berkenaan menyumbang kepada golongan memerlukan.

Tambahnya, program sedemikian juga bagi menunjukkan yang mana kelab atau persatuan permotoran yang banyak ditubuhkan di seluruh negara ketika ini bukan semata-mata bagi tujuan hiburan atau riadah.

Sebaliknya, ujar beliau, persatuan sebegitu turut memainkan peranan dalam mendekati pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan memerlukan dengan aktiviti berfaedah.

“Sumbangan bagi program hari ini misalnya adalah sepenuhnya daripada kami iaitu hasil kutipan dalam kalangan ahli-ahli seramai 65 orang termasuk daripada ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program itu di sini hari ini.

Menurut Anuar, selain pemberian kelengkapan Aidilfitri, kanak-kanak dari rumah berkenaan juga dibawa berbuka puasa di sebuah restoran makanan segera di Sungai Ara, di sini petang ini.

Dalam pada itu, kata beliau, Bikers Satu Hati juga turut terlibat bersama-sama Persatuan Peniaga Pasar Malam Teluk Kumbar dalam memberikan sumbangan kepada seramai 15 penduduk kurang berkemampuan di kawasan tersebut.

Turut diadakan, tambahnya, pemberian sumbangan kepada golongan asnaf dengan kerjasama Persatuan Rukun Tetangga Taman Brown di Masjid At-Taqwa di sini melibatkan seramai 10 penerima.

Sementara itu, Pengetua yang juga pengasas Pertubuhan Kebajikan Nasyiatul Aisyiyah, Rohani Hussinsa, 67, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kelab Bikers Satu Hati yang memilih rumah kebajikannya untuk disampaikan sumbangan.

Menurut beliau, sebagai tempat perlindungan kanak-kanak yatim piatu dan asnaf yang berharap sepenuhnya kepada sumbangan pihak luar, program itu mampu meringankan beban pihaknya dalam menyediakan persiapan Aidilfitri kepada penghuni rumah berkenaan.

“Keutamaan kami adalah untuk melihat kanak-kanak di rumah perlindungan ini juga dapat bergembira dan berseronok meraikan Aidilfitri sama seperti kanak-kanak lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE