Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, jaminan itu berdasarkan pemantauan dan pemeriksaan pihaknya terhadap bekalan bahan bakar tersebut di stesen-stesen minyak seluruh negeri ini.

Menurutnya, pihaknya sejak 26 Disember lalu, mengadakan pemeriksaan mengejut di sebanyak 102 daripada 202 stesen minyak di negeri ini bagi memastikan pemegang lesen runcit petrol mematuhi syarat lesen masing-masing.

“Pemeriksaan berterusan ini berikutan kebimbangan orang ramai berhubung dakwaan bekalan petrol di stesen mi­nyak akan kering disebabkan penetapan harga baharu seperti yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

“Bagaimanapun, kita memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku di negeri ini dan kesemua pengusaha stesen minyak yang kita pantau mematuhi peraturan bekalan yang ditetapkan,” katanya selepas membuat pemeriksaan bekalan petrol di sebuah stesen minyak di Jelutong di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan menggesa orang ramai melaporkan kepada PDNHEP negeri sekiranya mendapati terdapat mana-mana stesen minyak yang kehabisan bekalan petrol selepas penetapan harga baharu kelak.

Katanya, laporan itu boleh dibuat menerusi pelbagai saluran seperti portal e-aduan KPDNHEP, di talian 1800-886-800, aplikasi Ez ADU KPDNHEP atau menerusi WhatApps menerusi nombor 019-2794317.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan mana-mana pe­ngusaha yang gagal memastikan bekalan petrol mencukupi atau menutup operasi tanpa kebenaran boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Jika sabit kesalahan, pe­ngusaha boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan kedua,” katanya.