Pemangku Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed menyampaikan zakat tersebut kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) melalui Yang Dipertua Negeri, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas di Restoran PenMutiara hari ini.

Selain itu, pada majlis hari ini juga, Co-op Bank Pertama (CBP) turut mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM202,185.80 bagi tahun kewangan berakhir 2018.

Penyerahan wang zakat Co-op Bank kepada ZPP itu disempurnakan oleh Pengerusi Anggota Lembaga Co-op Bank Pertama, Kamari Zaman Juhari.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, kedua-dua organisasi tersebut merupakan antara pembayar zakat utama kepada ZPP yang menunaikan kewajipan mereka kali ini.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk menyeru semua organisasi korporat agar tampil dan menunaikan kewajipan membayar zakat.

"Saya berharap majlis penyerahan zakat oleh Bank Rakyat dan Co-op Bank Pertama ini dapat menjadi satu contoh kepada organisasi lain untuk membayar zakat," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan zakat oleh Bank Rakyat dan Co-op Bank Pertama di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman.

Dalam perkembangan lain, Amran berkata, ZPP sedang mengumpul data golongan asnaf yang terlibat dalam bencana ribut 9 Ogos lalu bagi tujuan penyaluran bantuan kepada mereka.

"ZPP bekerjasama dengan pejabat daerah untuk pastikan rumah golongan asnaf yang mengalami kerosakan akibat ribut dapat dibaiki," katanya. - UTUSAN ONLINE