Yang Dipertuanya,  Datuk Abdul Malik Abul Kasim berkata, langkah itu dibuat atas faktor kemanusiaan walaupun hari ini adalah tarikh akhir perintah mahkamah untuk para penghuni mengosongkan rumah tersebut.

“Berdasarkan perkembangan semasa, MAINPP dijangka memperoleh milikan kosong tanah tersebut hujung bulan ini.

“Kita bersetuju menawarkan kepada 14 penghuni tersebut pampasan seperti mana yang telah diterima oleh 32 penghuni sebelum ini antaranya seperti tawaran rumah ganti dengan keluasan 1,000 kaki persegi (92 meter persegi),” katanya dalam sidang akhbar di MAINPP, di sini hari ini.

Berdasarkan perancangan awal, sebanyak 470 unit rumah pangsa kos sederhana rendah 22 tingkat di atas tanah wakaf berkenaan dirancang dibina bagi tujuan penempatan semula 46 pemilik rumah yang terlibat.

Bagaimanapun, rancangan berkenaan tertangguh sejak lapan tahun lalu apabila hanya 32 pemilik rumah bersetuju manakala 14 yang lain enggan menerima tawaran asal MAINPP. 

Baru-baru ini, kesemua 14 pemilik yang enggan berpindah itu mengadakan demonstrasi aman di tapak tanah wakaf itu bagi menuntut kerajaan negeri membela nasib mereka ekoran arahan pengosongan rumah mereka oleh mahkamah. - UTUSAN ONLINE