Aktivis alam sekitar, Khoo Salma Nasution yang mewakili Jawatankuasa Penang Tolak Tambak berkata, angka itu sangat mustahil dan tidak mungkin berdasarkan matematik dan logik mudah.

Jelas beliau, untuk menjalankan 4,733 sesi dalam tempoh empat tahun memerlukan purata 3.25 sesi setiap hari untuk 1,460 hari secara berterusan, merangkumi hujung minggu dan cuti umum.

Sedangkan, jelasnya, berdasarkan rekod awam, pihaknya tidak pernah mendengar mana-mana agensi kerajaan mahupun Exco negeri menjalankan sesi temu tembung secara maraton sedemikian.

“Sehubungan itu, kami menuntut Dr. Afif memberikan penjelasan terhadap perakuan beliau mengenai 4,733 sesi tersebut dan menyatakan maklumat dan bukti bahawa sesi temu tembung tersebut benar-benar telah dilaksanakan.

“Kita tidak boleh membiarkan perakuan ini digunakan sebagai justifikasi oleh kerajaan negeri untuk menjarah melalui penambakan selatan Pulau Pinang tanpa menghiraukan kerisauan dan tentangan pelbagai pihak termasuk nelayan tempatan, komuniti bandar dan masyarakat awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Afif menerusi laman sosial Twitter beliau Ahad lalu membuat hantaran berbunyi: “Segala bentuk proses temu tembung telah dimulakan seawal 2016 dengan semua pemegang taruh dan paling penting penduduk setempat terutama golongan nelayan dilibatkan secara terus. Sehingga hari ini, lebih 4733 sesi telah dijalankan.”

Beliau merujuk kepada rancangan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar di perairan selatan negeri ini (PSR) bagi membentuk tiga buah pulau buatan yang mendapat bantahan pelbagai pihak khususnya komuniti nelayan dan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Khoo Salma berkata, sekiranya benar, Dr. Afif tidak sepatutnya mempunyai masalah untuk memberikan butiran mengenai 4,733 sesi temu tembung yang telah diadakan termasuk masa, tarikh, tempat dan senarai jemputan dan senarai yang hadir dalam sesi perbincangan tersebut.

Selain itu, tambah beliau, pihaknya juga meminta Dr. Afif menjadikan butiran mengenai apa yang telah berlaku atau dibincangkan semasa sesi temu tembung tersebut sebagai tatapan umum kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan awam. - UTUSAN ONLINE