Pengarahnya, Habibah Sulaiman berkata, program tersebut yang bermula 3 Mei hingga 4 Jun ini di Tingkat Bawah (LG Floor), Sunway Carnival menawarkan pelbagai jenis biskut, kuih-muih tradisi, kerepek, serta kelengkapan Hari Raya Aidilfitri kepada pengunjung.

“Kita buka lapan gerai jualan sempena Agro Bazar Aidilfitri FAMA kali ini namun yang istimewanya terdapat 30 produk daripada usahawan berbeza dijual di sini.

“Selain itu, lebih 100 jenis biskut ditawarkan kepada para pembeli di ruang niaga yang selesa ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Habibah, program Agro Bazar Aidilfitri FAMA itu merupakan program tahunan yang diadakan sejak 2017 bertujuan membantu menyediakan ruang niaga buat usahawan bumiputera.

“FAMA sekali lagi meneruskan kerjasama dengan Sunway Carnival Mall bagi menjayakan kempen raya Sunway Carnival dengan mempromosi produk industri asas tani,” katanya.

Habibah berkata, pelbagai aktiviti menarik juga dirangka bagi memeriahkan Agro Bazar Aidilfitri FAMA antaranya pertandingan serta demonstrasi menggubah kek, pertandingan menganyam bakul serta hiasan rumah daripada kertas dan banyak lagi.

Dalam pada itu, Habibah menambah, FAMA juga akan menganjurkan pasar tani pra-Aidilfitri selama tiga hari berturut-turut pada 2, 3 dan 4 Jun di Tasek Gelugor dan Balik Pulau.

“Ia bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan harga barangan keperluan dengan lebih berpatutan sempena musim perayaan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE