Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9.30 pagi oleh anggota polis trafik selepas dikesan memandu kereta jenis Perodua Myvi berwarna oren  dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika ditahan suspek sedang dalam perjalanan menuju ke Georgetown.

“Pemeriksaan di dalam kereta itu mendapati terdapat tiga kotak mengandungi dadah disyaki kanabis (ganja) di tempat duduk penumpang belakang manakala dua lagi ditemukan di dalam but.

“Terdapat 80 ketulan mampat dadah disyaki kanabis di dalam kelima-lima kotak tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan lagi, siasatan lanjut menda­pati dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan di bahagian pulau negeri ini memandangkan suspek tinggal di kawasan itu.

Katanya, hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis morfin selain mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah.

Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.