Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, 72 syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi projek PSR itu juga akan dimuat naik dalam laman web rasmi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dan boleh diakses oleh orang ramai.

Menurutnya, antara syarat kelulusan EIA itu adalah kerajaan negeri diwajibkan untuk melaksanakan langkah-langkah mitigasi mengikut nasihat-nasihat teknikal daripada jabatan berkaitan terutama daripada Jabatan Perikanan bagi menangani impak ke atas sumber perikanan dan kepada komuniti nelayan.

“Antara perkara penting yang dinyatakan di dalam EIA ini adalah keperluan bagi kerajaan negeri melaksanakan Offset Programme.

“Offset Programme bagi kehilangan kekal yang diakibatkan oleh projek ini akan diselaraskan sebagai sebahagian daripada Penang Offset Masterplan antaranya merangkumi tukun tiruan, pelepasan benih ikan, penanaman semula bakau dan menyediakan dana bagi kajian penyu dan terumbu karang,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.

Kerajaan negeri telah menerima kelulusan laporan EIA bagi projek PSR daripada JAS pada 4 Julai lalu.

Difahamkan jangka masa projek tebus guna itu adalah selama 15 tahun dan keseluruhan projek dijangka siap antara 30 dan 50 tahun.

Menurut Kon Yeow, bagi menangani kesan ke atas komuniti nelayan, satu jawatankuasa nelayan harus dibentuk di samping penyediaan pelan keluar dan penubuhan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN).

“Kuantum serta kelayakan saguhati dan lain-lain faedah bagi nelayan terjejas akan dibincangkan lebih lanjut menerusi jawatankuasa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Projek SRS Konsortium, Sze To Wai Loong berkata, Offset Programme merupakan antara syarat yang paling mencabar untuk dipatuhi dalam melaksanakan projek PSR itu.

“Ini memandangkan kita perlu kajian terperinci dan menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau segala pelaksanaan yang ditetapkan untuk program ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE