Saman itu dikeluarkan dalam operasi oleh sekumpulan anggota Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, ibu pejabat polis daerah Seberang Perai Utara (SPU) di kawasan itu bermula pukul 12 tengah hari semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, saman yang dikeluarkan itu meliputi kesalahan muatan meleleh dan tumpah di atas jalan raya, tidak memiliki lesen memandu vokasional serta nombor plat kabur.

Ujar beliau, operasi itu digerakkan susulan aduan orang awam berkenaan aktiviti keluar masuk kenderaan berat di kawasan itu yang menyebabkan kerosakan jalan raya serta pencemaran habuk.

Selain itu, katanya, operasi itu juga bertujuan mengesan kenderaan berat yang didapati membawa muatan berlebihan serta kesalahan lain yang boleh diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang khususnya Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Operasi ini akan dijalankan berterusan bagi mengesan pemandu dan kenderaan yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy menyeru semua pemilik syarikat pengangkutan dan pemandu lori supaya mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak dikenakan tindakan.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan kesalahan kenderaan berat itu juga boleh menyalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan untuk diambil tindakan. - UTUSAN ONLINE