Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, aspek utama adalah tahap profesionalisme yang merupakan sifat terpenting sebagai pegawai tentera yang perlu sentiasa kompeten dan bekerja kuat serta penuh tekad pada sepanjang masa.

Pada masa sama titah baginda, pegawai kadet Palapes juga perlu memiliki disiplin yang tinggi, berintegriti dan jujur melaksanakan sebarang tugas dan tanggungjawab serta menyebarkan budaya kepimpinan yang terbaik kepada rakan seperjuangan dan masyarakat.

“Aspek kerohanian juga perlu diperkukuhkan bersama gabungan empat elemen iaitu akal, rohani, nafsu dan Qalbu serta ungkapan ‘setia kepada negara dan sedia berkorban demi kepentingannya dengan tidak sekali-kali mengenal erti menyerah’ adalah sumpah yang tidak boleh diabaikan.

“Pegawai kadet Palapes juga perlu peka terhadap persekitaran khususnya corak ancaman masa kini dan masa hadapan serta milikilah ilmu pengetahuan berkaitan ketenteraan yang komprehensif dan menyeluruh bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman,” titahnya sempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Malaysia ke-37 di Universiti Sains Malaysia hari ini.

Sebanyak 1,788 pegawai kadet dari 18 universiti awam menerima watikah mereka pada istiadat itu.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Senator Liew Chin Tong serta Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. - UTUSAN ONLINE