Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Toh Seri Lela Paduka Dr. Khalid Ismail berkata, beliau bertemu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengatakan bahawa projek tersebut akan diteruskan untuk keselesaan rakyat.

Menurutnya, malah status kemajuan projek pembinaan jambatan tersebut setakat ini sekitar 20 peratus siap.

“Saya mewakili penduduk Bagan Datuk merakamkan penghargaan kepada menteri besar yang mengatakan bahawa projek pembinaan Jambatan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop diteruskan demi rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al-Khairiah, Selekoh dekat sini kelmarin.

Pembinaan jambatan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop bernilai RM466.9 juta menghubungkan ke Daerah Perak Tengah telah mula dilaksanakan pada Julai 2017 dan dijang­ka siap pada Julai 2020.

Jambatan sepanjang 1.5 kilometer itu memendekkan jarak perjalanan dari Daerah Bagan Datuk ke Perak Tengah dari 50 kilometer (km) kepada 10.2km selain turut mempunyai jalan tuju ke jambatan sepanjang 8.7km, sistem pembetungan dan saliran di sepanjang jalan utama.

Namun pertukaran kerajaan negeri dan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu telah memberi impak ke atas projek pembangunan yang sedang dilaksanakan apabila hampir semua projek yang sedang rancak di jalankan dibatal atau ditunda.

Antara projek pembangunan di sini yang ditangguhkan itu termasuklah kerja-kerja peluasan jalan empat lorong ke Bagan Datuk, pembinaan politeknik, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kompleks sukan, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam 1Ma­laysia (PPA1M), perpustakaan digital, kilang perindustrian automatif dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk.

Beberapa projek sempat disiapkan sepenuhnya seperti Bagan Datuk Waterfront, Jeti Bagan Datuk, kawasan riadah dan taman rekreasi kanak-kanak di Hutan Melintang.

Khalid berkata, keputusan meneruskan pembinaan jamba­tan berkenaan merupakan satu rahmat buat penduduk Bagan Datuk apabila bakal menikmati pelbagai pembangunan sama ada dari segi ekonomi mahupun sosial.

“Pembinaan jambatan ini juga mampu menukar imej Bagan Datuk sebagai kawasan terpinggir atau digelar hujung Perak yang tidak mempunyai nikmat pembangunan berpuluh tahun-tahun lamanya,” katanya.