Ketika itu nanti adalah tidak mustahil untuk mereka bersarapan di Seremban, makan tengah hari di Melaka, minum petang di Muar, membeli-belah di Singapura sebelum balik semula ke Kuala Lumpur menjelang tengah malam.

Itu semua boleh dilakukan dalam masa beberapa jam apabila projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura sejauh 350 kilometer (km) dijangka siap pada tahun 2026.

Dengan kelajuan kereta api melebihi 330km sejam, projek itu mampu mengurangkan perjalanan dari ibu negara ke negara jiran berkenaan kepada 90 minit sahaja berbanding kira-kira empat jam menaiki kereta.

Pelaksanaan projek ini bermula selepas Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala di Putrajaya pada Disember tahun lalu. Sebanyak lapan buah stesen akan dibina iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Tidak dapat dinafikan projek ini akan mengubah sama sekali sistem pengangkutan di kawasan terbabit menjadi lebih pantas, cekap dan berkesan.

Kepantasan kereta api HSR juga membolehkan lebih ramai penduduk dari Negeri Sembilan, Melaka malah Johor yang bekerja di Kuala Lumpur atau Singapura berulang alik setiap hari.

Dalam konteks Negeri Sembilan, projek tersebut umpama gerbang yang membuka laluan kepada lebih banyak pembangunan di negeri ini pada masa depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini turut membayangkan perkara berkenaan dengan menjangkakan stesen HSR Seremban nanti akan muncul sebagai stesen paling sibuk.

Jelas beliau, stesen itu berada di tengah-tengah kawasan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) dan berharap ia seterusnya boleh disambung dengan perkhidmatan ERL atau KTM Komuter untuk ke KLIA yang menjadi pintu masuk kepada jutaan pelancong ke negara ini.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan Pusat secara dasar telah bersetuju dengan cadangan menghubungkan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) ke Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan ke stesen itu dan seterusnya pula ke KLIA.

Cadangan tersebut jika dilaksanakan kelak akan memudahkan lagi pergerakan orang ramai sekali gus meletakan Seremban sebagai lokasi transit dan tumpuan utama kepada sistem pengangkutan bertaraf antarabangsa.

Yang pasti, tiada siapa dapat menafikan bahawa projek HSR bakal memberi impak besar dan amat dinanti-nantikan oleh rakyat di negara ini.

Projek yang dihasilkan daripada wawasan pemimpin negara itu akan mengubah landskap pengangkutan negara ke arah sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini.