Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, potensi tersebut jelas dapat dilihat dengan kemasukan ramai pengunjung ke sini melalui jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sematan-Telok Melano yang telah siap sekitar 77 peratus.

Katanya, meskipun jalan masih belum siap sepenuhnya, sudah ramai orang datang berkunjung terutama pada hujung minggu.

“Saya melihat kemudahan inap desa belum mencukupi maka rebutlah peluang-peluang ini untuk mengusahakan tanah-tanah yang ada.

“Penduduk di sini memiliki khazanah yang cukup berharga yang perlu dijaga dan peliharalah sebaik-baiknya supaya ia kekal menjadi sumber pendapatan masyarakat di sini,” katanya ketika berucap pada Program Armada PBB Kembara Telok Melano di sini baru-baru ini.

Tambahnya, penduduk diingatkan agar tidak menjual tanah mereka kepada orang luar sebaliknya ia boleh dibangun dan dimajukan untuk menjana sumber pendapatan mereka.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, Telok Melano merupakan lokasi yang sering dikunjungi bekas ketua menteri, allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk beriadah terutama memancing.

“Saya berharap penduduk di sini terus memelihara tempat ini sebaik-baiknya dan apa yang penting jagalah kebersihan untuk menarik orang datang ke kawasan kita.

“Selain itu, teruslah memberi sokongan dan terus bersatu agar hak Sarawak dapat kita terus pertahankan,” ujarnya.

Bagi Timbalan Ketua Pemuda PBB, Fazzrudin Abd. Rahman berkata, program armada pemuda itu menjadikan Telok Melano lokasi pertama diadakan di negeri ini.

Katanya, ianya bagi menunaikan janji ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu yang menyaksikan pengundi Telok Melano mencatat sejarah memberikan undi 100 peratus kepada PBB yang diwakili Jamilah.

“Kita komited membangunkan Sarawak untuk anak- anak kita kelak dan pemuda akan berjuang habis-habisan bersama pimpinan PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi memastikan hasrat ini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE