Majlis yang berlangsung di Dewan Seri Endon, Puspanitapuri Presint 8 itu diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar.

Majlis dianjurkan oleh JPM dengan kerjasama agensi di bawahnya, Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (Maksak) dan Puspanita Kebangsaan.

Menurut JPM, majlis bertujuan untuk memberi peluang kepada warga kerja JPM daripada pelbagai agensi beramah mesra serta mengeratkan silaturahim bersama Perdana Menteri, jemaah menteri serta ketua-ketua jabatan.

Jelasnya, ini merupakan kali pertama Ismail menjadi tuan rumah kepada majlis sambutan berkenaan selepas dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara.

“Majlis sambutan bertemakan ‘Syawal Dirai, Tradisi Diingati’ membawa mesej kegembiraan kepada warga setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan dan seterusnya menghidupkan tradisi turun-temurun dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta penyediaan juadah raya yang pelbagai serta menampilkan citarasa masyarakat Melayu,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah JPM, sebanyak 10 gerai disediakan menyediakan juadah dari negeri-negeri di Malaysia.

“Adalah diharapkan melalui penganjuran majlis ini dapat mengeratkan lagi kebersamaan, perpaduan, keharmonian serta memberikan keceriaan dalam kalangan warga kerja JPM, seterusnya melahirkan rasa bersyukur di bulan Syawal yang mulia ini,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE