PLUS turut melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu apabila wanita terbabit tidak menghiraukan teguran petugas dan pelanggan yang menyaksikan kejadian tersebut.

"PLUS mengingatkan pengguna bahawa kawasan R&R adalah kawasan larangan untuk binatang peliharaan dan papan tanda mengenainya telah disediakan.

"Demi keselesaan pengguna lebuh raya PLUS, kami memohon kerjasama semua pelanggan supaya mematuhi larangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu,  rakaman video secara 'live' oleh pengguna  Facebook mengenai seorang wanita memandikan anjing di dalam bilik tukar lampin bayi di R&R Tapah arah selatan kelmarin dan tular sejak semalam.

Video 'live'  tersebut dirakamkan oleh seorang pengguna laman sosial, Farah Shafiza Che Amat, 29,  ketika  dia dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur dan singgah di R&R tersebut untuk ke tandas.

Katanya, pada mulanya  dia terdengar kekecohan di hadapan bilik tukar lampin bayi  dan mendapati  seorang wanita sedang memandikan seekor anjing.

"Kakitangan dan orang awam di situ memberitahu mereka telah menegur wanita itu tapi tidak dihiraukan sebelum saya turut menegur perbuatannya.

"Setelah ditegur berulang kali, wanita itu akhirnya menoleh kepada kami dan memberitahu anjingnya tidak terlalu kotor," katanya.

Menurutnya, dia telah membuat laporan kejadian itu kepada pihak PLUS.

"Saya kesal kerana wanita itu bukan sahaja tidak mahu mendengar teguran malah tidak sensitif terhadap orang lain," katanya ketika dihubungi hari ini. - UTUSAN ONLINE