Mok cek insurans berjumlah RM314,000.00 itu disampaikan Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil kepada anak kedua Allahyarham Mohamad Zaini Panjang Karim dan Allahyarham Azizah Yatim, Mohamad Noor Affandy, 25, di rumah keluarga tersebut di Kampung Bukit Tok Po, Kuala Perlis.

Menurut Muhammad Faiz, jumlah keseluruhan insuran itu merupakan manfaat yang diterima oleh kedua-dua mangsa merangkumi RM155,000 bagi setiap mangsa dan RM2,000 lagi untuk perbelanjaan pengebumian Allahyarham berdua.

Beliau memberitahu, pasangan tersebut merupakan nelayan yang berdaftar di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Perlis sebagai pemilik dan awak-awak.

“Skim Insurans Nelayan Berkelompok LKIM adalah skim perlindungan takaful kemalangan diri melibatkan pelagai manfaat dan perkhidmatan yang diberikan bagi memberi perlindungan patuh syariah kepada nelayan.

“Sejak Jun sehingga Disember tahun lalu, seramai 366,766 orang nelayan seluruh negara telah diinsuranskan dan sejumlah RM701,501 nilai pampasan membabitkan 58 orang penerima seluruh negara telah direkodkan,” katanya.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Untong Keri.

Muhammad Faiz menambah, daripada jumlah pampasan tersebut, sebanyak RM12,692 adalah nilai pampasan bagi kematian biasa, elaun hospital serta perbelanjaan hospital yang melibatkan seramai empat orang nelayan dari negeri ini.

Terdahulu pada 12 Januari lalu, Muhammad Faiz telah melawat keluarga mangsa setelah menerima berita kemalangan tersebut dan menyampaikan cek Skim Perlindungan dan Kebajikan Nelayan bernilai RM10,000 kepada keluarga mangsa. - UTUSAN ONLINE