Hari ini, remaja yang bakal memasuki tingkatan lima sekolah vokasional itu menerima bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh pula yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa pendidikan negeri, Rozieana Ahmad.

Nur Najihah dibawa ke sebuah kedai pakaian di Kangar untuk memilih sendiri kelengkapan yang diperlukan bagi memulakan persekolahan minggu depan.

Ternyata remaja tersebut begitu gembira apabila berpeluang memilih sendiri pakaian, seluar, kasut dan pelbagai lagi kelengkapan sekolah lain yang sebelum ini langsung tidak pernah dijangka akan dinikmati oleh Nur Najihah.

Nur Najihah berkata, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu menyediakan kelengkapan sekolah kepadanya.

“Alhamdulilah semua ini adalah rezeki daripada Allah dan apa berlaku tentunya ada hikmah tersendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan kesusahan seorang penoreh getah, Kadin Hassan,55, yang tidak mampu menyediakan kelengkapan sekolah untuk anaknya yang bakal memulakan sesi persekolahan minggu depan.

Kisah Kadin yang diibaratkan ‘kais pagi makan pagi, kais petang itu’ ternyata menarik perhatian ramai pihak yang tampil memberikan bantuan.

Sementara itu, Rozieana berharap kerajaan Persekutuan akan dapat memikirkan bantuan-bantuan yang perlu kepada golongan penoreh getah ini. - UTUSAN ONLINE