Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan kebimbangan sekiranya tidak dikawal boleh menyebabkan berlakunya peningkatan kadar pencemaran alam sekitar.

Baginda bertitah, kemasukan sisa-sisa buangan plastik bukan sahaja boleh memasuki melalui pelabuhan-pelabuhan utama di negara ini, namun pintu-pintu sempadan darat turut tidak terkecuali.

“Di Perlis juga boleh berpotensi untuk menjadi laluan kemasukan sisa plastik ini iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian, jika tidak diberi tumpuan oleh pihak berkuasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Program Sambutan Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Perlis 2019 di Dewan Warisan di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan pembuangan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) yang semakin meningkat ekoran ledakan teknologi maklumat.

Titah baginda, pengurusan pembuangan e-waste seharusnya diurus sebaiknya mengikut tatacara ditetapkan.

“E-waste mengandungi bahan toksik dan logam berat yang berbahaya. Malah pengurusan yang baik akan memberi faedah kerana sisanya mempunyai logam yang berharga seperti emas dan kuprum,” titah baginda lagi. - UTUSAN ONLINE