Pengarah FAMA negeri, Mohamad Paisal Amri berkata, ini berikutan buah-buahan tersebut masih boleh terjual pada harga berpatutan di seluruh negara.

Jelas beliau, faktor pengeluaran durian secara serentak di seluruh negara dalam tempoh terhad, menyebabkan berlakunya lebihan pengeluaran.

“Meskipun demikian, pengguna dapat merasai buah-buahan tempatan ini pada harga yang berpatutan manakala petani pula dapat memasarkan dan menjual hasil tanaman mereka dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan Program Sembang Santai Bersama Media Massa dan Lebihkan Makan Buah-Buahan Bermusim di pejabat FAMA negeri di Jalan Behor Temak di sini hari ini.

Yang turut hadir wakil Ahli Parlimen Kangar, Ahmad Abdullah.

Menurut Mohamad Paisal, FAMA negeri ini mempunyai sebuah pusat sejuk beku di Beseri dekat sini, untuk memproses lebihan pengeluaran buah-buahan tempatan.

Katanya, kesemua buah-buahan yang tidak boleh dijual itu akan disejukbekukan dan dinikmati di luar musimnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, FAMA negeri ini telah menganjurkan sebanyak empat kali Program My Best Buy sejak 19 Julai lalu yang nilai jualannya mencatatkan sebanyak RM100,000 untuk kira-kira 20 metrik tan buah-buahan tempatan.

Terdahulu, Mohamad Paisal mengagih-agihkan serawa cempedak kepada para pengunjung di program itu secara percuma iaitu produk daripada buah-buahan yang disejukbekukan. - UTUSAN ONLINE