NOOR HAIRI NOOR MOHAMMED
NOOR HAIRI NOOR MOHAMMED 

Yang Dipertua Majlis Belia Negeri Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed berkata, sepatutnya Chef Wan memperjuangkan nasib warga Felda dan bukannya menghina mereka.

Katanya, di saat peneroka terseksa akibat harga komoditi itu terus menjunam, mereka turut terluka akibat kenyataan Chef Wan itu.

Ujarnya, Chef Wan dilihat langsung tidak layak menerima pengiktirafan tersebut dan kerajaan perlu mengkaji semua mengenainya.

“Saya percaya ramai warga Felda yang tersinggung dengan kenyataan Chef Wan bahawa peneroka malas dan hanya bergantung harap kepada bantuan kerajaan.

“Adakah Chef Wan sedar bahawa penerokalah yang selama ini bertungkus-lumus membangunkan kawasan Felda daripada generasi pertama sehingga sekarang. Sebelum mengeluarkan kenyataan selepas ini, kaji terlebih dahulu baik dan buruknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Chef Wan menerusi status dalam akauan Instagram miliknya semalam menyifatkan golongan peneroka Felda bukan sahaja malas bekerja untuk memajukan tanah Felda, sebaliknya hanya berharap sepenuhnya kepada bantuan yang diberikan kerajaan.

Sambil menyamakan golongan berkenaan seperti kucing, Chef Wan berkata, golongan itu juga enggan untuk membantu diri sendiri ke arah yang lebih baik.

Sebelum itu, Chef Wan dipilih menerima Anugerah Ikon Felda yang disampaikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3, Rompin, Pahang.

OMAR BAKAR
OMAR BAKAR 

Sementara itu, peneroka dari Felda Mata Ayer, Omar Bakar, 63, pula berkata, tindakan Chef Wan melabelkan warga Felda sebagai malas sama sekali tidak boleh diterima selain beliau juga tidak mempunyai sumbangan terhadap Felda.

Katanya, ramai peneroka di kawasan Felda berasa marah dan kecil hati dengan kenyataan selebriti masakan itu yang disifatkan melampau.

“Kami mahu gelaran itu ditarik balik dan anugerahkan kepada individu-individu yang benar-benar layak,” katanya. - UTUSAN ONLINE