Baginda bertitah, boleh dilakukan dengan menggalakkan lebih banyak pembabitan remaja dan belia dalam sebarang sukan digemari golongan itu.

“Malah perkara ini relevan ketika negeri ini meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-75 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan pada masa sama menantikan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-61 pada 31 Ogos ini.

“Ia sejajar dengan asas kenegaraan kita yang diterapkan di dalam Rukun Negara khususnya prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berangkat merasmikan Pertandingan Futsal 2018 Anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-75 Raja Perlis di D’Futsal Centre, Batu 2, Jalan Kaki Bukit di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Yang Dipertua PPKL, Datuk Syed Moheeb Syed Kamarulzaman.

Tuanku Syed Faizuddin seterusnya bertitah, melalui sukan juga, semangat patriotisme mampu dipupuk dan ia terbukti pada setiap kali atlet negara beraksi di peringkat antarabangsa.

“Inilah elemen postif yang diharap dapat dihayati oleh semua ahli sukan iaitu semarak rasa perpaduan dan kesetiakawanan,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, pertandingan tahunan hari ini berjaya menarik penyertaan sebanyak 119 buah pasukan yang dibahagikan kepada 4 kategori utama iaitu Terbuka Lelaki (60), Terbuka Wanita (10), Bawah usia 16 tahun (36), dan Maahad Tahfiz (11).

Turut diadakan ialah perlawanan khas melibatkan dua buah pasukan orang kurang upaya (OKU).

Terdahulu baginda turut berkenan bersama-sama kepimpinan PPKL berbasikal dalam program Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali Ke-57 bagi tahun ini bagi menyerahkan sumbangan kepada seramai 120 orang asnaf terpilih bernilai RM72,000. - UTUSAN ONLINE