Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail bertitah, bangunan yang dianggarkan berharga RM6 juta itu kini giat dilaksanakan de­ngan kerjasama HTF dan Persatuan Institusi Perbankan Islam (AIBIM), khususnya Bank Islam Malaysia Berhad.

Titah baginda, kutipan sumbangan wakaf bagi pembinaan bangunan berkenaan masih lagi berjalan dan jumlahnya setakat ini adalah RM1.1 juta.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah demikian ketika menyerahkan sumbangan MAIPs RM5,000 untuk Tabung Ibnu Sabil bagi kegunaan rakyat Malaysia yang terkandas di Belgium akibat sakit atau masalah kewangan.

Sumbangan itu disampaikan kepada Duta Malaysia ke Belgium dan Luxembourg serta Ketua Perwakilan Malaysia ke Kesatuan Eropah, Datuk Hasnudin Hamzah di Brussels, Belgium, baru-baru ini.

Baginda yang juga Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berada di Belgium bagi mengetuai delegasi Jelajah Ilmu Unimap.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Mohd. Fo’ad Sakdan.

Tuanku Syed Faizuddin menambah, ibadah wakaf adalah satu daripada instrumen pemangkin pembangunan sosioekonomi umat Islam.

“MAIPs selaku Pemegang Amanah Tunggal Harta Wakaf di Perlis sentiasa komited me­laksanakan inisiatif untuk menyemarakkan kesedaran berwakaf dalam kalangan umat Islam khususnya di Perlis,” jelas baginda.

Raja Muda Perlis juga berharap orang ramai turut ­meng­hulurkan sumbangan wa­kaf tunai bagi merealisasikan pembinaan bangunan tersebut bagi kegunaan pesakit buah pinggang.

“Adalah diharapkan juga apabila bangunan wakaf ini siap dibina, ia dapat diurus dengan sebaik mungkin supaya ia dapat diguna lebih lama ­dan manfaat wakaf itu berterusan,” jelas ba­ginda.