Dalam masa sama, baginda juga menzahirkan kebimbangan jika perkara seumpama itu terus berlaku pada masa depan menunjukkan seolah-olah wujudnya pemberontak di negeri ini.

Baginda juga mengingatkan kepada semua wakil rakyat yang dilantik sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu
supaya mengenepikan politik sebaliknya memberi fokus kepada pembangunan dan kebajikan rakyat di negeri ini.

“Hari ini bersejarah bagi Perlis, sepatutnya pelantikan Exco diadakan lebih awal tetapi kemelut yang tidak disangka telah berlaku sehingga menyebabkan semuanya terpaksa ditunda. Kita telah membazir banyak masa disebabkan masalah ini.

“Saya pandang serius perkara ini kerana pada majlis pelantikan (Menteri Besar) ia diadakan di Istana dan saya terlibat dalam pelantikan tersebut. Pada masa itu, sembilan wakil rakyat boikot pelantikan berkenaan.

“Saya harap biar perkara ini menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita supaya tidak berlaku lagi pada masa hadapan. Saya bimbang, sekiranya perkara ini terus berlaku, ia menunjukkan ada pemberontak di dalam negeri ini,” titah baginda pada majlis mengangkat sumpah pelantikan Exco kerajaan negeri di Istana Arau, di sini hari ini.

Berangkat sama ke majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pada majlis tersebut, seramai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN mengangkat sumpah sebagai ahli Exco di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin.

Seterusnya Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, sesiapa sahaja di dalam dunia semestinya pernah membuat salah dan baginda menerima permohonan ampun kesemua wakil rakyat tersebut.

“Baru-baru ini, wakil-wakil rakyat ini datang menghadap saya dan meminta maaf. Siapa dalam dunia ini tidak buat salah dah silap. Saya terima permohonan maaf ini dan saya mahu perkara-perkara seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” titah baginda.- UTUSAN ONLINE