Ketua Jabatan Siasatan dan Perundangan Trafik (JSPT) ne­geri, Deputi Superintenden Rusli Yahaya berkata, ini dibuktikan dalam tiga Op Khas Banteras Samseng Jalanan sepanjang cuti sekolah ini termasuk malam tadi.

Beliau berkata, dalam operasi malam tadi, dianggarkan sebanyak 70 peratus daripada 170 motosikal yang ditahan untuk pemeriksaan, merupakan golongan remaja berusia 14 hingga 18 tahun.

“Saya seru ibu bapa supaya mengawasi tindak-tanduk anak-anak khususnya semasa golongan ini meminjam kenderaan mereka,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu yang bermula pukul 5 petang dan berakhir pukul 11 malam.

Daripada jumlah motosikal diperiksa itu, kata Rusli, sebanyak 37 buah telah disita atas pelbagai kesalahan selain 200 saman dikeluarkan.

“Kita turut menahan dua lelaki berusia 18 dan 21 tahun ke­rana menunggang secara melulu (berlumba) manakala sejumlah yang lain berjaya meloloskan diri.

“Polis kini sedang memburu mereka dari rumah ke rumah kerana segala maklumat sudah diperoleh. Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, semasa operasi dijalankan, terdapat beberapa remaja yang cuba melarikan diri ke dalam sawah tetapi berjaya ditahan setelah dikepung.