Seperti murid-murid lain, baginda juga terpaksa menempuh cabaran sama khususnya ketika melalui laluan yang becak dengan lorong sempit setiap hari apabila berjalan kaki ke sekolah.

Baginda yang memasuki sekolah berkenaan ketika berumur lima tahun bertitah, pada masa itu, kenderaan tidak boleh masuk ke kawasan bangunan sekolah dan hanya berhenti di tepi jalan.

“Beta terpaksa memakai kasut tinggi yang digunakan oleh orang yang bekerja di ladang itu ketika berjalan kaki dalam keadaan berbecak menuju ke sekolah tersebut. Selepas sampai, beta akan membasuh kaki di sebuah kolah di kawasan itu sebelum memulakan sesi pembelajaran.

“Terdapat juga murid-murid lain yang hanya berkaki ayam ke sekolah pada masa itu. Di dalam kelas pada masa itu, beta adalah murid yang paling muda. Selain itu, beta juga sempat melihat kebanyakkan warga emas belajar di sekolah sama bagi mengasah kemahiran mereka membaca dalam bahasa rumi.

“Terlalu banyak kenangan manis dan pengalaman semasa beta belajar di sekolah ini dahulu,” titah baginda selepas berkenan merasmikan Karnival Sambutan 130 tahun STB di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Guru Besar STB, Azhar Darus.

Karnival Sambutan 130 STB yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung khususnya alumni sekolah tersebut.

Antara aktiviti menarik disediakan pada program yang bermula pada pukul 9 pagi sehingga 11 malam itu ialah pameran atau galeri mengenai sejarah STB; mini zoo; jualan makanan serta minuman; jualan barangan keperluan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); jualan pakaian; pelbagai permainan untuk kanak-kanak; santai anak seni; pertunjukkan bunga api dan pelbagai lagi aktiviti menarik.

Seterusnya baginda bertitah, kesusahan pada zaman perang menyebabkan ramai rakyat yang tercicir dalam pelajaran dan golongan itu hanya mendapat pendidikan hanya selepas kemerdekaan.

Untuk rekod, STB adalah sekolah Melayu pertama ditubuhkan di negeri ini dan dibina pada tahun 1888 dengan nama asalnya Sekolah Melayu Arau. - UTUSAN ONLINE