Diajukan soalan berhubung perkara itu ketika ditemui pemberita selepas Jelajah Keadilan Peduli Rakyat di sini hari ini,

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya telah memberi pandangan supaya isu tersebut ditentukan melalui keputusan secara konsensus semua parti dalam gabungan itu.

Selain itu katanya, keputusan mencalonkan Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan itu juga perlu mendapat maklum balas daripada semua rakyat.

“Ini kerana rakyat harus diberikan kuasa untuk menentukan masa depan negara bukannya ditentukan oleh mana-mana individu. Saya percaya Pakatan Harapan akan berlapang dada menerima mandat daripada rakyat,” katanya.

Mesyuarat Majlis Pakatan Harapan Khamis lalu gagal mencapai kata sepakat dalam soal siapa yang bakal dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan tersebut memenangi PRU-14.

Bagaimanapun difahamkan tiga buah parti dalam Pakatan Harapan iaitu DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN bersetuju untuk memilih Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri namun dibantah oleh PKR.

Ia memandangkan PKR dikatakan masih berpegang kepada pendiriannya untuk melantik Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara manakala Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Perkara itu disahkan oleh Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat tersebut.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, apa yang penting calon Perdana Menteri itu nanti adalah individu yang boleh melakukan reformasi dalam sistem kenegaraan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan sesetengah pihak supaya Mohamed Azmin dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, beliau berkata;

“Saya pemimpin peringkat negeri sahaja dan biarlah saya bekerja di Selangor,” katanya.- UTUSAN ONLINE