Sehubungan itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar generasi muda menceburi diri dalam seni mempertahankan diri itu.

“Selain silat, golongan muda ini juga digalakkan menyertai seni mempertahankan diri seperti taekwando, judo dan sebagainya.

“Kesenian ini dapat membentuk jati diri, disiplin, keyakinan diri serta rasa tanggungjawab dalam diri anak muda,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan Majlis Penutupan Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Perlis di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Amin Mamat dan Pengarah PTSS Perlis, Abdul Malek Hassan.

Seterusnya baginda bertitah, sukan mampu memainkan peranan penting dalam pembentukan keperibadian seseorang pelajar.

Titah baginda, penglibatan dalam aktiviti sukan adalah pendedahan asas kepada pelajar terhadap amalan gaya hidup sihat dan aktif.

“Sukan juga adalah platform terbaik bagi mencungkil potensi serta bakat para pelajar dan ia juga merupakan medium yang efektif untuk pembentukan keperibadian warga belia.

“Penyertaan seseorang pelajar di dalam sesebuah kejohanan menuntut mereka supaya memiliki disiplin, komitmen, persediaan mental dan fizikal serta semangat berpasukan yang tinggi.

“Kemahiran ini amat penting dalam mempertingkatkan lagi keupayaan pelajar bagi mengawal diri, mental dan tindakan yang menjadi elemen utama dalam kehidupan,” titah baginda.


TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada Majlis Penutupan Karnival Sukan Tempur Politeknik Malaysia 2019 di PTSS Perlis, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN ONLINE

Dalam karnival berkenaan, Mohd Syafiq Zubir menerima Anugerah Tokoh Sukan Tempur manakala Muhammad Izzul Irfan Marzuki dianugerahkan sebagai Atlet Silat Terbaik.

Politeknik Nilai Negeri Sembilan muncul johan keseluruhan dalam karnival disertai oleh 380 peserta dari 20 buah politeknik di seluruh negara itu.- UTUSAN ONLINE