Antara racun perosak yang menjadi tumpuan dan sering digunakan oleh para petani ialah jenis Heben Pesticide iaitu untuk mencegah siput gondang di kawasan sawah.

Racun tersebut dipercayai dari China berdasarkan tulisan bahasa cina pada setiap peket atau botol yang dijual.

Meskipun dikatakan memberi kesan khususya dalam mencegah siput gondang selain harganya lebih murah, namun penggunaannya menyebabkan mudarat terhadap pengguna termasuk terdapat satu kes kematian pada 2011 di Tanjung Karang, Selangor.

Pegawai Pertanian Bahagian Kawalan Racun Perosak dan Baja, Nazli Mat Aris berkata, kebanyakan racun perosak tidak berdaftar ini di bawa masuk dari China untuk kegunaan pesawah khususnya di sekitar Utara dan Selangor.

Katanya, meskipun pelbagai langkah pencegahan diambil bagi mengekang kemasukan racun perosak tersebut namun sindiket terus mencari jalan menyeludup masuk ke negara ini disebabkan permintaan yang tinggi.

“Selain memberi kesan kepada kulit, terdapat kes kematian berlaku disebabkan penggunaan racun jenis ini. Kita tidak tahu apa kandungan serta kesan kerana semuanya ditulis dalam bahasa Cina,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambah beliau, terbaharu pihak berkuasa berjaya merampas sebanyak 102 buah kotak yang mengandungi 12,240 bungkus racun perosak haram dari China itu dalam serbuan di Kampung Tok Mengkula, Sanglang, Ayer Hitam, Kedah, Khamis lalu.

Katanya, hal itu menunjukkan sindiket ini terus berani menyeludup barangan tersebut dan beliau percaya mereka akan menggunakan apa cara sekali pun untuk membawa masuk racun berkenaan selagi mendapat permintaan.

“Racun tersebut dijual dengan harga RM5 sepeket dengan penggunaannya antara tiga sehingga empat peket untuk satu-satu masa iaitu lebih murah daripada racun berdaftar iaitu RM50 ke RM60 untuk keluasan sama.

“Kita memandang serius penggunaan secara berleluasa racun perosak tidak berdaftar ini dan terus mencari kaedah berkesan untuk mengatasi masalah ini.

“Jika racun perosak tidak berdaftar ini baik dan memberi kesan, kenapa sehingga hari ini pembekal terbabit tidak pernah mendaftar dengan Jabatan Pertanian. Setiap racun perosak yang digunakan di negara perlu mendaftar,” katanya.- UTUSAN ONLINE