MUHAMAD HALIM YATIM
MUHAMAD HALIM YATIM

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya telah menahan pemandu kereta tersebut untuk siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan setakat ini tiada unsur-unsur jenayah.

Katanya, kenderaan itu yang didapati diubah suai di bahagian tangkinya serta tidak mempunyai cukai jalan dan perlindungan insurans telah disita dan diserahkan kepada agensi terlibat untuk siasatan lanjut.

“Bagi mengaitkan aktiviti penyeludupan dengan kes kemalangan yang berlaku itu adalah tindakan yang melulu.

Rekod kita menunjukkan ini adalah kes pertama kenderaan yang diubah suai tangki terlibat kemalangan sehingga mengakibatkan kematian.

“Hasil pemeriksaan pada kenderaan itu, kita turut menemukan sebuah tong yang kosong dan bukannya berisi minyak seperti didakwa pihak tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan netizen dalam laman sosial yang mendakwa polis tidak mengambil tindakan terhadap kes kemalangan itu walaupun mengetahui ia mempunyai kaitan dengan penyeludupan minyak yang aktif di kawasan tersebut.

Netizen turut mempersoalkan di manakah pihak berkuasa dalam membanteras penyeludupan minyak di sempadan.

Muhamad Halim seterusnya memberitahu, pihaknya bersedia menerima maklum balas daripada masyarakat dan mengalu-alukan maklumat sekiranya mengetahui tentang aktiviti penyeludupan minyak di daerah tersebut. - UTUSAN ONLINE