Menurut kenyataan UniMAP hari ini, SIIF 2018 menyaksikan universiti itu membolot tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa serta dua anugerah khas.


Tiga penyelidik yang menerima anugerah emas melalui produk penyelidikan mereka ialah Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, Alida Abdullah dan Dr Syed Zulkarnain Syed Idrus Al Saggoff daripada Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoTech) UniMAP.

Mohd Arif Anuar membentangkan produk penyelidikan 'High Strength Geopolymer Reinforced Lead-Free Solder For Aerospace Interconnects Application'. Selain pingat emas, produk itu turut mendapat anugerah khas dari Taiwan Inventor Association.

Produk itu adalah bahan pateri mesra alam yang dicipta untuk menggantikan pateri plumbum yang boleh mendatangkan kemudaratan alam sekitar serta kesihatan manusia.

Menurut Mohd Arif Anuar berkata, bahan pateri bebas plumbum yang dihasilkan merupakan bahan pateri yang diperkuat dengan bahan seramik geopolimer yang bersaiz nano.

"Bahan pateri yang dihasilkan ini boleh digunakan dalam keadaan persekitaran yang ekstrem seperti penggunaan bahan elektronik telekomunikasi dan aeroangkasa," katanya.

Sementara itu, Alida yang mempertandingkan produk penyelidikan "Fly Ash Lightweight Geopolymer Aggregate (LiGA): Environmental Friendly Insulator Materials for Building Application" juga mendapat anugerah khas daripada The Association of Polish Inventors and Rationalizers selain pingat emas.

LiGA adalah bahan binaan ringan yang mampu mengawal haba bagi keselesaan manusia dalam bangunan yang menggunakan bahan itu.

Syed Zulkarnain pula membawa pulang pingat emas melalui produk penyelidikan 'Sistem Biometrik Untuk Penyiasatan Forensik Komputer: Sistem Pengesahan Pengguna Berdasarkan Dinamik Keystroke dan Biometrik Lembut'.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal menyifatkan kejayaan yang dicapai pada SIIF 2018 melengkapkan senarai pencapaian UniMAP bagi tahun 2018.


"Kita berharap ia akan menjadi pembakar semangat buat semua penyelidik untuk menghasilkan lebih banyak produk yang berimpak kepada masyarakat pada tahun depan," katanya di sini.


SIIF yang berlangsung di COEX Convention Centre, Seoul selama empat hari dan berakhir pada 9 Dis lepas disertai para penyelidik daripada lebih 20 negara dan dianjurkan oleh Korea Invention Promotion Association (KIPA).- BERNAMA